"Pam dengan perlahan kita dapat banyak minyak. Pam dengan laju, dapat sedikit," demikian dakwa Pengurus Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin.
Menurutnya, keadaan itu tidak disedari kebanyakan pengguna kerana mereka tidak peduli kuantiti sebenar minyak yang dipam.
Wartawan Kosmo! yang ingin menguji dakwaan Noor Nirwandy itu telah mengisi minyak ke dalam dua botol di dua stesen minyak berasingan dan mendapati kuantitinya berbeza walaupun harga yang dibayar adalah sama.
Noor Nirwandy berkata, keadaan tersebut berlaku apabila petrol yang diisi telah bercampur wap semasa dipam.
"Ia menjadikan paparan digit pada mesin pam menunjukkan minyak yang dipam adalah satu liter namun kuantitinya sedikit berbeza disebabkan kemasukan bersama udara (wap). Bagaimanapun, kami belum membuat kajian terperinci mengenai perkara ini," katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, pihaknya juga kerap menerima aduan dan mengakui perkara tersebut memang berlaku namun hasilnya bergantung kepada cara pengguna mengisi minyak.
"Lebih baik isi minyak dengan perlahan bagi mengelak kemasukan udara yang banyak ke dalam tangki kenderaan.
"Pengguna juga boleh mengelak kemasukan udara bersama minyak dengan mengisi petrol pada waktu malam atau ketika cuaca sejuk kerana jumlah wap di dalam tangki petrol bawah tanah adalah lebih rendah berbanding ketika cuaca panas," jelasnya.
No comments:
Post a Comment