Pada hari Selasa 14hb Jun, 2011, ada 2 gegaran dirasai oleh penduduk Semenanjung Tanah Melayu. Kali pertama beberapa saat pada 8pagi dan kali kedua beberapa saat pada pukul 11pagi. Kedua-duanya berpunca dari gempa bumi di Sumatera.
Persoalannya, berapa ramai yang mengerti dengan apa yang sedang berlaku dan ke mana kita sedang menuju ?
20 tahun dahulu saya pernah mendengar seorang Ustadz ( berumur 77 tahun ketika itu ) yang menerangkan sebuah hadith. Rasulullah mengkhabarkan bahawa semakin hampir Qiamat, semakin banyak berlaku bencana bumi seperti gempa bumi, letusan Gunung Berapi, banjir, kemarau, asap dan kebakaran.
Pada masa yang sama, arwah juga menerangkan dari Hadith lain pula bahawa akan berlaku banyak kematian akibat peperangan dan penyakit berjangkit yang susah diubati.
Bila saya tanya kenapa jadi begitu, beliau menjawab : " sebab manusia sangka mereka lebih pandai dari Allah" .
Ustadz itu menerangkan bahawa sudah jelas di dalam Al-Quran tujuan adanya Gunung dan tumbuhan. Gunung dan Bukit adalah timbunan tanah untuk memasak bumi supaya tidak bergerak. Manakala tumbuhan adalah untuk menyimpan air di bawahnya supaya tidak banjir dan tidak kemarau serta menyejukkan kawasan. Jadinya, janganlah ganggu.
Ujar beliau lagi, di dalam Al-Quran sudahpun sebut bahawa kemusnahan bumi yang berlaku adalah berpunca dari tangan manusia sendiri. Beliau sambung lagi, bila manusia lebih ramai berhibur dari beribadah, nescaya penyakit berjangkit akan berleluasa. Dan seterusnya peperangan akan berlaku kerana berebut kuasa dan harta.serta kerana fikiran asabiyah.
Nah .... semua budaya pilihan manusia zaman ini dahpun disebut dalam Al-Quran dan Hadith ketika 1,400 tahun dahulu.
Kita tak perlu tukang telek. Kita tak perlu animasi dan simulasi dari para saintispun. Semua dah termaktub awal-awal lagi.
Kita dah lihat tahun ini sahaja sudah banyak berlaku gempa bumi - Jepun, New Zealand, Indonesia dan Iran. Letusan Gunung Berapi di Iceland, Peru, Indonesia dan Italy. Kemarau di China, Australia, Russia, Syria, Thailand dan beberapa tempat di Afrika. Berlaku banjir kemusnahan dan taufan di Haiti, Australia, Amerika, Philipina, China dan Eropah Timur.
Kita sedia ketahui bahawa dunia telah dilanda Selsema Babi, HIV/AIDS, SARS, JE, Typhoid, Herpes, Hepatitis, Super Malaria dan Super TB. Entah apa lagi lepas ni.
Kini juga dahpun kita lihat berita pembunuhan beramai-ramai umat Islam oleh Umat Islam sendiri dan oleh kafirin. Entah kat mana lagi lepas ni.
Kita juga lihat manusia mengganggu keadaan Gunung dan tumbuhan hutan untuk tujuan "kemajuan" negara dan "kemudahan" rakyat kononnya, walhal tujuan sebenarnya menambah kekayaan diri sendiri, keluarganya dan kumpulannya. Berapa banyak lagi tempat nak digondolkan dan berapa banyak lagi bukit nak diratakan.
Kita juga sedang menghadapi suhu mukabumi naik panas, ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan jadi cair. Akibatnya, ada tempat makin selalu kena banjir dan ada tempat makin selalu kena kemarau.
Kita juga lihat pesta hiburan sana dan sini dipenuhi oleh manusia yang "normal". Yang "tak berapa normal" dok merempit sana dan sini. Yang suka cari penyakit untuk ahli keluarga sibuk dengan segala jenis dadah, arak dan pelacuran.
Yang sesat ikut Syiah, AlBani, Qadyani, Bahai, Ayah Pin, murtad dan macam-macam lagi. Yang sangka tak sesat tapi sudah jatuh murtad tanpa sedari dok persoalkan hukum Allah dan RasulNya. Yang baru belajar agama sikit dari satu dua Universiti, dok persoal para Sahabatnya yang dijamin syurga untuk dapat PhD agar gaji tinggi sikit.
Semuanya kerana mereka sangka mereka lebih pandai dari Allah dan RasulNya.
Tapi bila gegaran berlaku panic pulak.... . Sebab apa panic? Kan perbuatan diri sendiri. Jadinya... terima ajelah hasilnya.
Kan ada banyak teknologi sehingga boleh terbang ke bulan. Kan ada kepandaian sehingga buat teropong bintang berjuta-juta kilometre dari bumi. Kan ada banyak doktor pakar dan saintis ubat penyakit. Boleh tengok kuman sedang berpesta dalam darah. Boleh masuk kamera tengok jantung. Kan boleh bina bangunan pencakar langit macam Namrud. Kan pandai...
Jadinya, kenapa tak cuba selesaikan masalah yang datang dari budaya masyarakat sendiri?
Ginilah. Saranan untuk selamatkan diri.
1. Taat perintah Allah dan RasulNya.
2. Kurangkan hiburan dan mula mendalami Al-Quran
3. Kerjalah seolah-olah hidup selama-lamanya
4. Beribadatlah seolah-olah mati esok hari.
5. Sayangilah keluarga dan khidmatlah kepada masyarakat
6. Ada duit, tunaikan Haji dan Umrah
7. Sponsorlah anak-anak orang miskin ke sekolah
8. Cukuplah. Jangan musnahkan lagi Bukit, Gunung dan Hutan
Sekurang-kurangnya kalau mati mengejut, dalam keadaan yang baik. Bukan mati dalam keadaan mengucap lagu Siti atau dengan headphone sedang dengar Lady Gaga.
Qiamat boleh berlaku bila-bila masa atas kehendak Allah. Tapi kalau ikut hadith, ada banyak lagi fasa dan peristiwa yang belum berlaku. Jadinya tak payah lah panic sangat.
Cuma takutlah pada Bala Pembersihan.
Bala ini yang kita perlu elak jika sayangkan kehidupan. Elakkan bala ini dengan cara tidak persoal hukum Allah dan buatlah baik banyak-banyak untuk diri, keluarga dan masyarakat.
No comments:
Post a Comment