Thursday, May 3, 2012

7 Jenis Sombong Yang Dilaknat Allah S.W.T.


 

1. Sombong kerana kelebihan seseorang dengan pengetahuan ilmunya, baik ilmu dunia atau ilmu akhirat. 
Apabila ilmu sudah penuh di dada, dia menganggap orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada 
pandangan yang bernas tetapi tidak diterimanya. Orang yang sombong seumpama ini hendak dirinya selalu
 dihormati oleh orang lain terutama ketika di khalayak ramai, oleh anak muridnya dan orang bawahannya 
serta sentiasa meminta diberi layanan mulia.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan walau hanya sebesar zarah.”

 (Hadis riwayat Muslim)

2. Sombong kerana kelebihan beribadat seseorang. Penyakit orang ahli abid yang merasa diri mereka terlalu
 banyak beribadat berbanding dengan orang lain sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat
 seperti mereka. Sedangkan mereka sebenarnya terpedaya dengan tipu daya syaitan. Rasulullah S.A.W. 
telah mengingatkan melalui sabda Baginda S.A.W. yang bermaksud :

“Bahawa siapa yang memuji dirinya sendiri atas suatu amal soleh, bererti sudah tersesat daripada 

mensyukurinya, dan gugurlah segala amal perbuatannya.“

3. Sombong kerana ego memperkasakan keturunan, bangga kita berketurunan mulia lagi bangsawan, 
suka menyebut nama datuk nenek moyang kita yang dulunya dikatakan keramat atau hebat. Sifat sombong
 seperti ini tidak ubah seperti kaum Bani Israel yang dilaknat Allah S.W.T., seperti termaktub dalam al-Quran.
 Mereka bangga dengan keturunan mereka yang banyak menjadi nabi ikutan, konon keturunan mulia 
dikasihi Allah S.W.T.

4. Sombong kerana berasa diri cantik dan sempurna malah memandang orang lain dengan hina, 
seperti merendah-rendahkan ciptaan Allah S.W.T. hingga sanggup menyindir atau memberi gelaran 
tidak baik seperti pendek, berkulit hitam atau gemuk.

5. Sombong yang berpunca daripada kelebihan harta diberi oleh Allah S.W.T. membuat kita lupa 
daratan, berbangga dengan kekayaan yang ada, rumah besar, kereta BMW mewah hingga memandang
 rendah orang yang kurang berada.

6. Sombong kerana kekuatan dan kegagahan diri. Semua orang akan dibuli kerana kuatnya badan kita 
tidak terperi, hingga boleh memakan kaca, kunyah besi, boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi, 
boleh dihempap badan dengan batu dan besi, atau sebagainya.

7. Sombong dan berbangga kerana ramainya pengikut setia di belakang diri, sepertinya orang alim
 berbangga dengan ramainya murid yang memuji. Guru silat pula berbangga dengan ramainya murid 
yang tidak lut ditetak parang dan dijilat api.

Oleh itu, hendaklah kita memeriksa diri kita betul-betul, lihat sama ada 7 perkara yang membawa kepada
 penyakit sombong ini ada pada kita atau tidak. Penawarnya ada di tangan sendiri kerana penyakit sombong
 ini hanya akan memakan diri. Tidak sekarang, mungkin di masa akan datang. Ubatilah sifat sombong itu 
dan jangan sesekali menghina orang lain kerana ianya sifat yang dilaknat oleh Allah S.W.T. Fikirkanlah..

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda yang bermaksud :

“Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk 

semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada Allah.” 
(Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)

mmm... ingatlah dunia ini hanya sementara sahaja...

No comments:

Post a Comment