Thursday, May 3, 2012

10kebaikan yang boleh anda lakukan untuk ibu bapa anda


   

1. Menghulurkan bantuan kewangan @ material

Ada ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian
 disebabkan faktor usia. Jika bekerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang
 semakin meningkat.

Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan 
itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.

2. Menyediakan tempat tinggal

Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal atau tidak sesuai untuk didiami, menjadi tanggungjawab 
anak menyediakan tempat tinggal lebih sesuai kepada ibu bapa.

Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian
 mereka diuruskan dengan baik.

3. Memberi kasih sayang

Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini dicurahkan ibu bapa. Jadi, seharusnya
 kasih sayang itu dibalas sebaik-baiknya.

Anak yang baik tidak melupakan jasa dan kasih sayang ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada 
Allah S.W.T. agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.

Firman Allah S.W.T. bermaksud :
"Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayang 
memelihara dan mendidikku ketika kecil." (Surah al-Isra, ayat 24)

4. Memberi perhatian

Ibu bapa yang diabaikan akan kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak dipedulikan. Hal ini 
memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan
 kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.

Ramai ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah penjagaan orang tua. Sukar diterima akal anak 
mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa, sedangkan mereka mampu menjaga dan membesarkan beberapa anak.

5. Memenuhi permintaan

Ibu bapa sering memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu 
mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.

Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya,
 memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa 
sunat dan seumpamanya.

Malah, keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama daripada berjihad di medan perang. Diriwayatkan 
daripada Bukhari dan Muslim, Ibnu Umar berkata : Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. : 
"Apakah perbuatan disukai oleh Allah?" Lalu Baginda S.A.W. bersabda : "Sembahyang pada waktunya." 
"Kemudian apa?", tanya saya lagi. Baginda S.A.W. menjawab : "Berbakti kepada kedua ibu bapa.
Saya bertanya, "Apa lagi?" Jawab Baginda S.A.W. : "Berjihad pada jalan Allah."

6. Melakukan apa yang disukai

Ibu bapa tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka.
 Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka. Anak 
derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada
 ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud ;
"Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua-dua
 ibu bapa." (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud:
"Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari 
kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Maka, sesungguhnya Allah 
menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati."

7. Bercakap dengan lemah lembut

Satu cara menjaga perasaan ibu bapa adalah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendaklah
 direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.

Firman Allah S.A.W. bermaksud:
"Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah S.A.W., dan hendaklah
 berbuat santun terhadap kedua-dua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya atau 
kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata terhadap mereka dan 
janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi, berkatalah dengan sopan santun dan
 lemah lembut." (Surah al-Israk, ayat 23).

Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud 
merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin 
menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk 
menjelaskan keadaan sebenar.

8. Menghadiahkan kejayaan

Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan 
seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam 
majlis untuk meraikan kejayaan itu..

9. Meluangkan masa bersama-sama

Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi mereka. 
Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.

10. Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa

Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk
 ibu bapa perlu diteruskan walaupun mereka meninggal dunia.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
"Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu 
sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang
 lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya.
" (Hadis riwayat Muslim).

Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil. Anak tidak mampu untuk 
membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya..

Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa 
untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan 
meninggal dunia.


No comments:

Post a Comment