Syiling 5 sen modal pukau: Gadis kebas beg wanita selepas 'hilang ingatan' di stesen LRT
KUALA LUMPUR : Sekumpulan warga asing dikesan menggunakan syiling lima sen untuk memukau pengguna Transit Aliran Ringan (LRT ) sebelum melarikan barangan berharga mereka, termasuk wang tunai.
Mulanya syiling lima sen itu dicampak ke lantai sebelum mangsa mengutipnya lalu menyebabkan mereka tidak sedarkan diri lebih 30 minit.
Dalam kes terbaru kelmarin, seorang wanita langsung tidak sedar beg tangannya dilarikan penjenayah itu selepas mangsa tunduk mengutip syiling di kakinya.
Kejadian pukau itu dilakukan seorang gadis ketika mangsa di Stesen LRT Setiawangsa tanpa disedari orang ramai di kawasan itu.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa yang hanya mahu dikenali, Siti Rabiah, 50-an hanya menyedari kehilangan beg tangannya sebaik tiba ke pintu rumahnya di Taman Keramat Permai.
Menurut Siti Rabiah, dalam kejadian itu, dia yang baru habis bekerja pulang ke rumah menaiki LRT dari Taman Melati sebelum berhenti di Stesen Setiawangsa.
"Sebaik keluar dari gerabak, saya berjalan pulang ke rumah. Tiba-tiba saya terlihat syiling lima sen di lantai sebelum memungutnya.
"Selepas mengambil syiling terbabit saya tiba-tiba menjadi hilang ingatan dan kaku sebelum berjalan meninggalkan stesen LRT berkenaan," katanya.
Sebaik tiba ke rumah setengah jam kemudian, dia sedar beg tangannya hilang.
Seingatnya kali terakhir beg tangan itu di bahu ketika memungut syiling itu sebelum berjalan pulang.
Kata Siti, dia kemudian memberitahu kejadian itu kepada anak saudara yang mencari beg tangan itu di stesen LRT berkenaan.
No comments:
Post a Comment