Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak
tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “ Ada di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot.
Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak jawab soalan ayah penuh yakin.
Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh
perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan
anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.
DUA PULUH TAHUN KEMUDIAN
Jam 6.30 petang
Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak
tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju barunya.
Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"
Ateh menjawab, “Entah.”
Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.
Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan
facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.
Tidak ada siapa tahu di mana Mak.
Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak.
Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak.
Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.
Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana
Mak?"
Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun
merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.
Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari
sekolah.
Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak
menunggu mereka di depan pintu.
Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1
atau kaki melecet main bola di padangsekolah.
Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik.
Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap
waktu dan setiap ketika.
Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak
bertanya 'Mana Mak?"
Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin
hilang dari bibir anak-anak Mak .
Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak.
Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih
belum balik.
Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit
lutut.
Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang
sudah uzur.
Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya.
Hujan masih belum berhenti.
Mak menjinjit dua bungkusan plastik.
Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk
anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.
Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta
anak-anak Mak.
Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak.
Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan.
Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil.
Mak senyum.
Kedua bibir Mak diketap rapat.
Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham.
Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak
seperti masa anak-anak Mak kecil dulu.
Mereka sudah besar.
Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.
Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah.
Kereta Ateh paling gah.
Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu.
Mak cuma suka warnanya.
Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak.
Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.
Baju mak basah kena hujan.
Ayah tutupkan payung mak.
Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab.
Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga.
Ayah pimpin Mak masuk ke rumah.
Lutut Mak sakit lagi.
Mak letakkan bungkusan di atas meja.
Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda
untuk anak-anak Mak.
Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu
untuk meminta untuk bawa balik.
Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.
Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat
berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh
koci kamu ni."
Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak.
Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci
sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu.
Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat.
Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas
makan.
Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.
Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.
Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur.
Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci.
Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak.
Mata
dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.
Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.
Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak
melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.
Ayah temankan Mak makan.
Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak
Mak akan makan bersama.
Setiap hari Mak berharap begitu.
Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap
malam.
Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh.
Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk
mencari rebung.
Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan
masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput.
Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi.
Tapi Uda kata semua tak angkat talipon.
Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh
berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk.
Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan
menjemput Mak dengan kereta.
Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta
barunya.
Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.
Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi.
Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan
anak-anak.
Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun.
Mereka ada kehidupan masing-masing.
Tak payah sedih-sedih.
Maafkan sajalah anak-anak kita.
Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka
sekarang.
Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa
anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak faham buah hati Mak semua sudah besar.
Along dan Angah sudah beristeri.
Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah
hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.
Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.
Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.
BEBERAPA TAHUN KEMUDIAN.....
Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik,
“Mana mak?”.
Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat
Mak waktu Mak sakit.
Kini Mak sudah berada di sisi ALLAH bukan di sisi anak-anak Mak
lagi.
Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik
menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak.
Batu nisan Mak tidak boleh bersuara.
Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk
erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak
Mak kecil dulu.
Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik
berada jauh di bandar.
Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak
dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.
Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang
lain bukan untuk Mak.
Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi.
Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya
untuk anak-anak Mak..
Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak.
Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan
renyai.
Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan
Ayah,
"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana
Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana
Adik?".
Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan
Mak memang tidak pernah silap.
Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di
mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika.
Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada
orang lain yang mengisinya.
Ayah sedih.
Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini
tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan
Adik , "Mana mak?" "
Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang.
Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang.
Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh
tidak kesampaian.
Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta
Ateh, kanBang?
Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu.
Saya akan buat kueh koci buat bekal."
"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah.
Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..
Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"
Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu.
Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih
sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.
Sebuah cerita pendek buat tatapan kita semua yang kadang-kadang
lupa perasaan ibu kita.
Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila
tua dilambung rasa.
Kata Rasulullah saw ibu 3 kali lebih utama dari ayah.
Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan
dan anak-anak sebenarnya.
Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil.
Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari
ibu tanpa berjawab?
Sekarang ini kita lakukan sesuatu kelainan dengan memeluk
lebih erat IBU kita dan membisik, IBU maafkan saya dunia dan akhirat!
Janganlah kita asyik mengejar dan leka dengan hal-hal keduniaan
hingga kita lupa tanggungjawab kita sebagai seorang anak.
No comments:
Post a Comment