Wednesday, December 12, 2012

perlu di contohi...


Tekad ingin mati syahid

ANAS pernah menjadi guru agama di Klang, Selangor.



ELESA mengenakan pakaian baju Melayu berwarna merah jambu, aktivis pertubuhan bukan kerajaan Aman Palestin (AP), Anas Abdul Malik ternyata seorang yang merendah diri.
Malah, lelaki berumur 43 tahun ini tidak asing lagi bagi masyarakat Gaza, Palestin yang menderita dek kekejaman rejim Israel.
Bapa kepada enam orang anak ini telah 11 kali mengikuti rombongan kemanusiaan di bumi bertuah itu untuk memberi bantuan makanan, kewangan serta ubat-ubatan.
Selain itu, dia pernah menjadi ketua misi AP di sana.
Susur katanya yang menginsafkan sesiapa sahaja: “Jika saya pergi ke Gaza sebanyak 20 hingga 30 kali sekali pun tidak mengapa kerana saya ingin mati syahid dan disemadikan di sana bersama pejuang Palestin yang lain,” katanya ketika ditemui kru Jurnal baru-baru ini.
Tutur Anas, minatnya dalam bidang kemanusiaan berputik semasa belajar dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar lebih 10 tahun yang lalu.
“Saya aktif dalam persatuan pelajar selain mengikuti perkembangan semasa krisis Palestin sejak penubuhan Israel pada 15 Mei 1948.
“Malah, terdapat rakan-rakan universiti yang mengambil keputusan berjihad di Palestin pada masa itu,” katanya.
Tetapi sebaik sahaja menamatkan pengajian, dia memulakan kerjaya sebagai seorang guru agama sebelum menerima pelawaan rakan-rakannya untuk menubuhkan AP pada tahun 2006.
“Saya bersyukur menjadi pilihan Allah SWT untuk tujuan murni ini. Misi pertama saya ialah pada awal 2009. Dahulu, agak sukar memasuki Gaza kerana terdapat banyak sekatan.
“Tetapi kini, agak kurang birokrasi daripada kerajaan Mesir tetapi risikonya tetap ada kerana banyak perisik Israel di negara itu,” katanya.
Anas mengakui ada kalanya hatinya berat untuk ke Gaza terutama semasa isterinya sarat mengandung selain permintaan daripada anak-anaknya sendiri.
“Perlu diingat bahawa jika kita menuju zon perang tiada jaminan keselamatan, insurans malah nyawa boleh melayang kerana serangan tentera Israel di sana tidak mengira masa dan tempat.
“Serangan jet serta helikopter rejim Israel turut menyasarkan kediaman serta hospital.
“Ibu bapa saya pernah merungut kerana saya baru sahaja pulang dari sana tetapi perlu kembali semula dalam tempoh kurang sebulan. Bagaimanapun, misi membantu umat Islam yang sedang menderita juga penting,” tegasnya.

KEWUJUDAN Briged Ezzedine al-Qassam menggentarkan tentera Israel.



Bekalan akhirat
Jika mengira faktor umur dan tempoh masa bekerja, Anas mungkin sudah selesa dengan tugasnya sebagai guru agama selain mengumpul harta.
Realitinya agak berbeza kerana dia masih menyewa rumah teres di Bangi, Selangor selain menggunakan kereta terpakai yang nilai semasanya kurang RM5,000. Pendapatan sebagai sukarelawan juga tidak seberapa.
“Sebenarnya saya tidak mengejar dunia kerana kehidupan akhirat itulah yang kekal abadi.
“Yang penting saya telah menyediakan keperluan asas untuk isteri dan anak-anak iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal,” jelasnya.
Anas memberitahu, isu Palestin harus diberi perhatian oleh semua umat Islam khususnya negara Islam kerana mereka memiliki kekuatan politik.
Dia juga tersentuh dengan kata-kata seorang imam Masjid Al-Aqsa yang berharap umat Islam dapat menunaikan solat di masjid itu dengan aman.
“Kata-kata imam itu bermaksud bumi Palestin telah bebas daripada penjajahan Israel sama seperti pahlawan Islam, Salahuddin Al-Ayubi yang memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib.
“Sekali gus membebaskan Baitul Muqaddis daripada pihak kafir yang memusuhi Islam pada tahun 583 Hijrah,” katanya.
Pengalaman bertemu dengan sayap tentera Hamas iaitu Briged Ezzedine al-Qassam memberikan inspirasi kepada Anas.
“Syarat menjadi ahli ialah umur mereka tidak melebihi 30 tahun selain perlu menghafal al-Quran. Pejuang juga tidak boleh meninggalkan solat jemaah.
“Ahli paling muda berumur 18 tahun dan semasa latihan mereka menggunakan peluru hidup kerana tiada bekalan peluru getah,” cerita Anas.
Kemampuan menghasilkan roket buatan sendiri oleh pejuang Hamas tidak boleh dipertikaikan kerana ia mampu mencapai sasaran di kawasan penduduk Israel sejauh 80 kilometer.
Mitos Israel
Lelaki ini menegaskan, tentera Israel tidak sekuat mana dan mereka sememangnya dikenali sebagai bangsa yang pengecut.
Katanya, walaupun Israel mempunyai persenjataan yang canggih termasuk jet pejuang, kereta kebal dan kuasa nuklear, ia tidak menggentarkan rakyat Palestin.
“Mereka penakut dan pantas berundur sebaik sahaja diserang pejuang.
“Serangan roket di bandar Israel secara berterusan sudah mampu melumpuhkan pentadbiran negara mereka,” katanya.
Tegasnya, hanya negara Islam yang tidak bersatu kerana perbezaan pendapat serta ideologi sedangkan negara haram Israel itu sendiri dikelilingi negara-negara Arab.

Sumber: Kosmo

No comments:

Post a Comment