Mengapakah para ibu digalakkan untuk menyusu bayi dengan susu badan dan
bukannya susu tepung ataupun susu lembu? Membuat persediaan untuk
menyambut kelahiran bayi anda adalah sesuatu yang menggembirakan dan ia
adalah masa yang sangat mencabar. Ibu harus memberi pertimbangan kepada
penyusuan susu ibu kerana ia memberi kebaikan kepada ibu dan anak. Kita
semua digalakkan memberi susu ibu sepenuhnya sehingga bayi berumur 6
bulan untuk mendapatkan segala kebaikan penyusuan susu ibu dan
diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun. Dalam masa pemberian susu ibu
sepenuhnya bermaksudlah bayi itu tidak diberi makanan atau minuman
tambahan yang lain selain daripada susu ibu.
Susu ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya
sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat
dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan bayi, susu pertama
kental berwarna kekuningan dan ia dikenalikan sebagai kolostrum.
Khasiatnya amat tinggi kerana kandungan proteinnya adalah tiga kali
ganda melebihi susu ibu biasa. Ia juga mengandungi antibodi
(immunoglobulins) yang tinggi serta lebih sel darah putih (leucocytes)
yang mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit,
selesema, bronkitis dan radang paru-paru.
Tambahan pula, susu ibu juga mengandungi nutrien tertentu yang amat
kritikal untuk perkembangan otak dan ia membantu dalam meningkatkan
kepintararan bayi. Dua kajian terbaru Cambridge di England dan Flinders
Australia telah membuktikan bayi yang disusui badan, kecerdasan IQnya
mampu mencecah tahap tujuh hingga 10 mata melebihi IQ biasa. Ia juga
memberi peluang kepada ibu dan anak untuk berinteraksi sepenuhnya dan
meningkatkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak kerana sewaktu
menyusu bayi, bau ibu, sentuhan dan wajah akan terakam pada ingatan bayi
yang masih kecil itu. Bayi akan lebih mengenali ibu dan paling penting
mereka dapat merasakan kehangatan kasih ibu dan bayi akan lebih mesra
dan kasih sayang mereka lebih mendalam pada ibunya dalam proses
penyusuan ini.
Selain itu, terdapat juga kebaikan terhadap ibu yang menyusui bayi sejak
kelahiran anak mereka. Antaranya ialah membantu mengecutkan rahim dan
mengembalikannya kepada saiz yang asal dengan cepat serta mengurangkan
pendarahan selepas bersalin. Tambahan pula, ia membakar kalori dan
mengembalikan bentuk badan asal anda dengan cepat dan mengurangkan
risiko kanser payudara dan kanser ovari. Malahan, kelebihan yang
seterusnya ialah ia merupakan satu cara merancang kehamilan yang ideal
secara tidak langsung kerana penyusuan ibu dengan sepenuhnya selama 6
bulan pertama mampu menunda kedatangan haid. Oleh itu, 99 peratus
kehamilan dapat dielakkan.
Menyusukan anak adalah tugas yang murni, penting dan istimewa bagi
seorang ibu. Pada masa ini, kesihatan bayi dan ibu dalam negara-negara
yang membangun mendapat perhatian yang penting. Yang dirisaukan ialah
banyak ibu di bandar dan juga sebahagian di luar bandar tidaklah
mementingkan lagi susu bagi anak mereka. Di negara-negara barat yang
maju, keadaan menunjukkan ibu-ibu sudah memberi semula susu bagi
anak-anak mereka tetapi di negara-negara membangun seperti Malaysia,
ibu-ibu lebih suka memberi anak-anak susu botol daripada susu mereka
sendiri.
Mengapakah perkara sedemikian terjadi? Maka, faktor yang menghalang
penyusuan adalah disebabkan kesakitan puting susu. Pada hari permulaan,
ibu mungkin berasa sakit tetapi setelah susu mengalir, kesakitan ini
akan berkurangan. Terdapat sesetengah ibu yang puting susunya tersorok
atau tidak dapat menegak untuk bayi menghisap, oleh itu bayi akan
menghisap kulit hitam sekeliling puting dan mengakibatkan perlukaan
kecil. Maka, ibu harus menarik putingnya semasa hamil 8 bulan sebagai
persediaan. Faktor seterusnya ialah bengkak susu yang disebabkan
jangkitan kuman ataupun takungan air susu. Jangkitan kuman dalam buah
dada mengakibatkan buah dada bengkak, hangat dan sakit. Ia bolehlah
dirawat secara memakan ubat yang diberikan oleh doktor dan ibu boleh
membasuhnya dengan menggunakan air suam. Selain itu, sebab-sebab yang
lain mungkin disebabkan sikap ibu tersebut. Misalnya, malu menyusukan
anak, tiada susu dalam badan, anak tidak mahu menyusu, ketakutan
merosakkan bentuk badan, malas menyusukan anak kerana kena bangun pada
waktu malam dan lain-lain lagi. Maka, cara untuk memperbanyakkan susu
badan ialah ibu bolehlah ambil sebatang lobak putih bersaiz sederhana
dan cuci bersih. Kemudian potong kecil-kecil dan kisar sehingga halus.
Selepas itu campurkan dengan segelas air suam dan diminta minum sebanyak
2 kali sehari.
Sehingga setakat ini, kesedaran untuk penyusuan badan adalah masih
rendah berbanding dengan negara lain. Kempen menyusu badan telah
diadakan di hospital seluruh negara untuk memupuk ibu-ibu menyusukan
bayi-bayi lebih sihat pada masa akan datang. Misalnya, Salah satu
strategi untuk menggalakkan penyusuan susu ibu di Malaysia adalah
melalui pelaksanaan Inisiatif Hospital Rakan Bayi. Ia merupakan salah
satu program antarabangsa yang dilancarkan oleh Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) dan UNICEF. Program ini bertujuan untuk mengalakkan semua
hospital dan pusat bersalin melaksanakan “10 Langkah Ke Arah Penyusuan
Susu Ibu Yang Berjaya”. Di samping itu, WABA (World Alliance for
Breastfeeding Action) ditubuhkan iaitu satu rangkaian global untuk
pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang mempunyai matlamat yang
sama. Ia bertujuan untuk menggalak, melindungi dan menyokong penyusuan
susu ibu. WABA percaya penyusuan susu ibu adalah hak setiap ibu dan
anaknya. Pada masa ini, NGO adalah kuasa penggerak di belakang kumpulan
sokongan penyusuan susu ibu, berusaha melaksanakan kod antarabangsa,
pertukaran maklumat dan latihan untuk pekerja dalam sektor kesihatan.
Bagi mencapai matlamatnya, WABA menubuhkan 9 pasukan khas untuk
menyelaras gerakan sosial, pertukaran maklumat, penyelidikan, amalan
penjagaan kesihatan, wanita dan kerja, mematuhi kod, pendidikan dan
latihan serta kumpulan sokongan ibu.
Penyusuan susu ibu tiada bandingan dengan susu tepung mahupun susu
lembu. Tiada gambaran yang sehabis murni dan suci daripada seorang ibu
yang sedang menyusukan anak kecil dengan memeluk anak itu rapat di
badannya. Dengan memeluk anak kecil, dan mengalirnya air susu dari ibu
kepada anak, maka kasih sayang itu turut mengalir. Kesimpulannya, dengan
penyusuan itu, semua kemahuan asas anak-anak dapat disempurnakan dan
anak akan berpeluang hidup dengan baik dan teratur semasa dewasa kelak.
good info.. love to share..
ReplyDeleteplease visit me back.. TQ