Friday, December 24, 2010

cam ne nak rase hati bahagia .....

Ada orang apabila tak ada duit, hidupnya berasa begitu sempit. Ada orang apabila bergaduh dengan isteri atau suami, hidupnya menjadi begitu tertekan.
 
Ada orang apabila kerja nya bertimbun, hidupnya jadi kusut tak senang duduk.
 
Pendek kata, ada banyak sebab mengapa manusia tidak dapat hidup dengan tenang bahagia.
 
Bagaimana dengan anda? Adakah anda berasa bahagia dengan kehidupan anda? Adakah anda berasa tenang dengan hidup anda sekarang? 
 
 
 
Dalam entri kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda 9 sebab mengapa hati kita tidak merasa bahagia. Mari kita periksa sama-sama, apakah sebab-sebab itu. Dan adakah kesemua sebab-sebab itu ada pada diri kita?

9 Sebab Hati Tidak Bahagia

1. Pemarah 
 
Orang yang ada sifat pemarah dalam dirinya, pasti sukar berasa tenang tenteram. Sikit punya hal dah nak marah. Ada masalah sikit dah nak mengamuk.
 
Tenangkah begitu? Bolehkah merasa bahagia jika begitu? Orang seperti ini juga sukar untuk mendapat kawan. 
 
2. Pendendam 
Orang yang ada sifat ini, pastinya hati dia tidak akan pernah tenteram. Selagi dia tidak dapat membalas dendam, hatinya tidak pernah tenang.
 
Mana mungkin orang yang ada menyimpan perasaan dendam boleh tenteram! Sifat pendendam ini ibarat lahar yang tersembunyi di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam dan memuaskan hatinya. Hatta dalam perkara yang kecil-kecil pun dia nak berdendam dan mahu membalasnya. Kalau orang sakitkan hati dia, dia mahu sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Jika begitu lah sikapnya, mampukah orang yang pendendam ini merasa bahagia? Apa kesudahannya?
 
3. Hasad dengki 
Ni lagi satu sifat yang jika ada dalam diri kita pasti membuatkan diri kita tak tenang dan tak bahagia. Nak tenang macammana, sikit-sikit nak berdengki.
 
Orang beli kereta baru kita dengki. Orang dapat naik pangkat kita sakit hati. Orang bergaya sikit, kita cemburu dengki. Pendek kata, orang tak boleh lebih dari dia. Kalau lebih, maka sakit hati dan dengki lah dia. Jika begitu, bolehkah orang seperti ini hidup dengan bahagia?  
 
4. Bakhil 
Sifat kedekut tahi hidung masin pun adalah sifat yang tak akan membuatkan hati kita berasa tenang bahagia. Orang kedekut ni sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dan lain-lain dari dirinya. Orang bakhil sentiasa berdalih mengatakan dia tiada duit, dia ada masalah lah dan sebagainya semata-mata tak nak beri derma apabila diminta. 
 
5. Tamak 
Orang yang tamak tidak pernah dan tidak akan puas dengan apa yang dimilikinya. Ada duit RM10 dia nak RM100. Dapat RM100, dia nak RM1000. Dapat RM1,000 dia nak RM10,000. Pendek kata, dia tak pernah bersyukur apa yang dia dapat. Jika begitu, dapatkah dia merasa bahagia dengan hidupnya?
 
 
 
6. Tidak sabar 
Orang yang tidak sabar, kena ujian kecil pun dia dah merasa tertekan. Kena kutuk sikit, dah nak mengamuk. Susah sikit dan nak komplen. Apatah lagi jika dia diuji dengan perkara-perkara besar. Lagilah tidak tenteram dan tertekan dia. Malah boleh jadi gila dibuatnya. Jadi, orang yang ada sifat tidak sabar ini, boleh tenang bahagiakah dia??
 
7. Ego 
Orang yang memiliki sifat ini pantang rasa dirinya tercabar. Egonya tinggi. Dia pantang dikritik. Dia pantang ditegur, walaupun telah terbukti kesalahannya, dia tak mahu mengaku. Dia tetap sombong diri, angkuh dan ego. Orang lain semua tak betul, semua tak bagus, sebaliknya dialah yang paling sempurna dan betul semuanya. Orang macam ini, mana mungkin dapat merasa bahagia, apatah lagi apabila ada orang cuba mengatasi dirinya.
 
8. Riak 
Riak adalah sifat yang suka menunjuk-nunjuk. Orang yang ada sifat ini, kalau buat kerja tak pernah ikhlas. Orang seperti ini sebenarnya hanyalah pelakon handalan yang mahu disanjung orang. Kalau orang puji dia, maka seronoklah dia. Tapi kalau tidak, hati dia menjadi begitu terseksa. Hati dia sebenarnya sentiasa tertekan kerana dia sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon-lakon di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji atau tidak dipuji dia kecewa sakit hati.  
 
9. Cinta Dunia 
Orang yang cinta dunia juga sebenarnya tidak merasa bahagia. Kerana apa? Kerana dia sentiasa berasa takut untuk kehilangan harta dunianya. Dia begitu takut mati meninggalkan harta yang dimiliki. Dia tidak akan merasa puas dengan hartanya. Apa yang difikirkannya hanyalah untuk mencari harta dan menambah kekayaan. Dia ingat bila dapat harta, hati nya akan puas. Dia ingat bila kekayaan bertimbun, dia akan bahagia. Tapi rupanya tidak, kebahagiaan dan ketenangan bukan pada harta kekayaan letaknya. Tapi tenang dan bahagia itu, terletak pada hati yang mensyukuri.
 
 
 
Kesimpulan 
 
Jadi, yang menyebabkan kita berasa tidak bahagia sebenarnya bukanlah disebabkan kemiskinan, musibah, kesibukan atau sebagainya, tetapi sifat mazmummah dan sifat buruk pada hati kitalah yang menyebabkan kita tidak merasa tenang bahagia.
 
Makin banyak sifat mazmummah seseorang, maka makin dia tidak merasa bahagia. 
 
Marilah kita sama-sama berusaha dan bermuhajadah untuk membuang semua sifat yang tidak baik seperti yang diterangkan diatas. 
 
Berusahalah untuk buang semua 9 sifat mazmummah itu agar kita dapat hidup tenang aman bahagia sentiasa. InsyaAllah. 
 
Sekian, salam ceria;)

No comments:

Post a Comment