Monday, April 15, 2013
Alahan protein susu lembu (CMPA)
SUSU formula merupakan pilihan utama sebagai ganti kepada susu ibu. Penggunaan susu formula secara meluas mungkin didorong oleh cara penyediaannya yang mudah apatah lagi jika harganya mampu dibeli oleh kebanyakan keluarga. Selain itu, wujudnya pelbagai jenama yang boleh dipilih, susu lembu seolah-olah mula mengambil peranan susu ibu.
Malah, wujud segelintir ibu yang memberikan susu formula kepada bayi masing-masing walaupun baru beberapa hari dilahirkan.
Menurut kajian, bayi yang diberi minum susu formula didapati kurang rintang terhadap penyakit. Malah, sehingga lapan peratus bayi didapati berdepan masalah alahan akibat meminum susu formula.
Menurut Presiden Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia, Dr. Amir Hamzah, masalah ini dipanggil alahan protein susu lembu (CMPA).
“CMPA ditakrifkan sebagai tindak balas alahan hipersensitif terhadap protein susu lembu.
“Biasanya bayi yang berumur setahun ke bawah sering mendapat masalah ini,” jelas Amir.
Katanya, CMPA berbeza dengan ketidakhadaman laktosa yang berlaku kerana kegagalan memproses laktosa yang disebabkan kekurangan enzim laktase.
“CMPA biasanya mulai reda setelah bayi tersebut berumur tiga atau empat tahun,” jelasnya.
Sementara itu, menurut Pakar Pediatrik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Chai Pei Fan, CMPA boleh menyebabkan radang yang teruk sehingga boleh membawa kepada anafilaksis.
Anafilaksis
“Anafilaksis ini merupakan sejenis alahan yang boleh mengancam nyawa jika dibiarkan.
“Jadi, adalah penting untuk ibu bapa supaya dapat mengenal pasti simptom CMPA,” katanya.
Jelas Pei Fan, bayi akan menunjukkan simptom CMPA sebaik sahaja diberi minum susu lembu.
“Selepas beberapa minit meminum susu lembu, bayi yang mengalami CMPA ini akan menunjukkan beberapa simptom yang boleh dilihat seperti kulit membengkak, batuk, bersin dan muntah-muntah,” jelas Pei Fan.
Tambahnya, bayi yang mengalami simptom tersebut perlu dibawa berjumpa doktor untuk mengenal pasti punca gejala tersebut.
“Hal ini kerana simptom yang dialami ini juga boleh berlaku disebabkan penyakit-penyakit lain.
“Selepas mengenal pasti, doktor boleh mencadangkan langkah pencegahan untuk mengatasi masalah ini,” ujarnya.
Tambah Pei Fan, ibu bapa mesti mengetahui status alahan yang dialami anak masing-masing supaya langkah segera boleh dilakukan bagi menangani masalah itu.
“Kaedah terpenting dalam rawatan CMPA ialah dengan menyingkirkan protein susu lembu daripada pemakanan kanak-kanak tersebut.
“Ibu yang menyusukan anak juga perlu menghentikan pengambilan susu lembu,” ujarnya.
“Formula gantian mungkin tidak diperlukan bagi bayi yang menyusu badan,” ulasnya.
Jelasnya lagi, bayi berumur enam bulan dan ke atas, boleh mengambil susu soya atau susu hipoalergenik sebagai ganti susu lembu tersebut.
Khasiat susu badan
Tambah Pei Fan, susu badan bukan sahaja boleh mengatasi masalah CMPA malah boleh mencegahnya daripada berlaku sekiranya bayi hanya diberikan susu badan.
“Semua orang tahu bahawa susu ibu sangat kaya dengan khasiat dan zat yang diperlukan oleh seseorang bayi untuk membesar malah bertindak sebagai sumber imunisasi bayi,” ujarnya.
Menurutnya, memberi susu badan juga mendatangkan kebaikan kepada ibu itu sendiri.
“Biasanya, semasa mengandung ibu mengalami pertambahan berat badan. Jadi, sekiranya ibu menyusukan anaknya, lemak yang ada dalam badan akan berkurang kerana diserap melalui susu tersebut,” jelasnya.
Katanya lagi, penyusuan badan ini juga akan membantu mempercepatkan pengecutan rahim ibu yang baru bersalin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment