Tekad ingin mati syahid
Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
ANAS pernah menjadi guru agama di
Klang, Selangor.
|
ELESA mengenakan pakaian baju Melayu berwarna merah jambu, aktivis
pertubuhan bukan kerajaan Aman Palestin (AP), Anas Abdul Malik ternyata
seorang yang merendah diri.
Malah, lelaki berumur 43 tahun ini tidak asing lagi bagi masyarakat
Gaza, Palestin yang menderita dek kekejaman rejim Israel.
Bapa kepada enam orang anak ini telah 11 kali mengikuti rombongan
kemanusiaan di bumi bertuah itu untuk memberi bantuan makanan, kewangan
serta ubat-ubatan.
Selain itu, dia pernah menjadi ketua misi AP di sana.
Susur katanya yang menginsafkan sesiapa sahaja: “Jika saya pergi ke
Gaza sebanyak 20 hingga 30 kali sekali pun tidak mengapa kerana saya
ingin mati syahid dan disemadikan di sana bersama pejuang Palestin yang
lain,” katanya ketika ditemui kru Jurnal baru-baru ini.
Tutur Anas, minatnya dalam bidang kemanusiaan berputik semasa
belajar dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar lebih 10 tahun
yang lalu.
“Saya aktif dalam persatuan pelajar selain mengikuti perkembangan
semasa krisis Palestin sejak penubuhan Israel pada 15 Mei 1948.
“Malah, terdapat rakan-rakan universiti yang mengambil keputusan
berjihad di Palestin pada masa itu,” katanya.
Tetapi sebaik sahaja menamatkan pengajian, dia memulakan kerjaya
sebagai seorang guru agama sebelum menerima pelawaan rakan-rakannya
untuk menubuhkan AP pada tahun 2006.
“Saya bersyukur menjadi pilihan Allah SWT untuk tujuan murni ini.
Misi pertama saya ialah pada awal 2009. Dahulu, agak sukar memasuki Gaza
kerana terdapat banyak sekatan.
“Tetapi kini, agak kurang birokrasi daripada kerajaan Mesir tetapi
risikonya tetap ada kerana banyak perisik Israel di negara itu,”
katanya.
Anas mengakui ada kalanya hatinya berat untuk ke Gaza terutama
semasa isterinya sarat mengandung selain permintaan daripada
anak-anaknya sendiri.
“Perlu diingat bahawa jika kita menuju zon perang tiada jaminan
keselamatan, insurans malah nyawa boleh melayang kerana serangan tentera
Israel di sana tidak mengira masa dan tempat.
“Serangan jet serta helikopter rejim Israel turut menyasarkan
kediaman serta hospital.
“Ibu bapa saya pernah merungut kerana saya baru sahaja pulang dari
sana tetapi perlu kembali semula dalam tempoh kurang sebulan.
Bagaimanapun, misi membantu umat Islam yang sedang menderita juga
penting,” tegasnya.
KEWUJUDAN Briged Ezzedine al-Qassam
menggentarkan tentera Israel.
Bekalan akhirat
Jika mengira faktor umur dan tempoh masa bekerja, Anas mungkin sudah
selesa dengan tugasnya sebagai guru agama selain mengumpul harta.
Realitinya agak berbeza kerana dia masih menyewa rumah teres di
Bangi, Selangor selain menggunakan kereta terpakai yang nilai semasanya
kurang RM5,000. Pendapatan sebagai sukarelawan juga tidak seberapa.
“Sebenarnya saya tidak mengejar dunia kerana kehidupan akhirat
itulah yang kekal abadi.
“Yang penting saya telah menyediakan keperluan asas untuk isteri dan
anak-anak iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal,” jelasnya.
Anas memberitahu, isu Palestin harus diberi perhatian oleh semua
umat Islam khususnya negara Islam kerana mereka memiliki kekuatan
politik.
Dia juga tersentuh dengan kata-kata seorang imam Masjid Al-Aqsa yang
berharap umat Islam dapat menunaikan solat di masjid itu dengan aman.
“Kata-kata imam itu bermaksud bumi Palestin telah bebas daripada
penjajahan Israel sama seperti pahlawan Islam, Salahuddin Al-Ayubi yang
memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib.
“Sekali gus membebaskan Baitul Muqaddis daripada pihak kafir yang
memusuhi Islam pada tahun 583 Hijrah,” katanya.
Pengalaman bertemu dengan sayap tentera Hamas iaitu Briged Ezzedine
al-Qassam memberikan inspirasi kepada Anas.
“Syarat menjadi ahli ialah umur mereka tidak melebihi 30 tahun
selain perlu menghafal al-Quran. Pejuang juga tidak boleh meninggalkan
solat jemaah.
“Ahli paling muda berumur 18 tahun dan semasa latihan mereka
menggunakan peluru hidup kerana tiada bekalan peluru getah,” cerita
Anas.
Kemampuan menghasilkan roket buatan sendiri oleh pejuang Hamas
tidak boleh dipertikaikan kerana ia mampu mencapai sasaran di kawasan
penduduk Israel sejauh 80 kilometer.
Mitos Israel
Lelaki ini menegaskan, tentera Israel tidak sekuat mana dan mereka
sememangnya dikenali sebagai bangsa yang pengecut.
Katanya, walaupun Israel mempunyai persenjataan yang canggih
termasuk jet pejuang, kereta kebal dan kuasa nuklear, ia tidak
menggentarkan rakyat Palestin.
“Mereka penakut dan pantas berundur sebaik sahaja diserang pejuang.
“Serangan roket di bandar Israel secara berterusan sudah mampu
melumpuhkan pentadbiran negara mereka,” katanya.
Tegasnya, hanya negara Islam yang tidak bersatu kerana perbezaan
pendapat serta ideologi sedangkan negara haram Israel itu sendiri
dikelilingi negara-negara Arab.
Sumber: Kosmo