Friday, February 15, 2013

Gegaran otak ancam nyawa...!!!


Sindrom Goncang Bayi atau dikenali sebagai Shaken Baby Syndrome (SBS) boleh diatasi jika ibu bapa atau pengasuh di pusat jagaan kanak-kanak tahu mengendalikan bayi yang meragam dengan cara yang betul.

TANGISAN bayi yang luar biasa lazimnya mesej yang ingin disampaikan bayi bahawa ada perubahan pada dirinya.



PADA bulan September tahun lalu, pasangan suami isteri, Mohd. Suhaimi Mamat, 31, dan Effa Roziana Mohd. Zin, 27, seperti biasa pulang dari kerja dan mengambil anak kedua mereka, Mohd. Danisy Darusy Mohd. Suhaimi, tujuh bulan, di rumah pengasuh di Shah Alam, Selangor.
Sejak melahirkan Danisy pertengahan tahun lalu, pasangan tersebut membuat keputusan meletakkan Danisy di bawah jagaan pengasuh yang tinggal berdekatan dengan rumah mereka. Ia bukanlah taska berdaftar tetapi pemiliknya memang dikenali sebagai penjaga kanak-kanak dalam kalangan penduduk kawasan tersebut.
Setiba di rumah, Danisy muntah-muntah lebih lima kali. Setiap kali disusukan, bayi itu muntah dan enggan menerima sebarang makanan. Resah dengan keadaan tersebut, Suhaimi dan Effa membawa Danisy ke sebuah hospital di Klang, Selangor bagi menjalani pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan doktor mendapati, suhu badannya normal tetapi tiba-tiba Danisy diserang sawan. Doktor gagal mengesan punca sebenar dan Danisy ditahan di wad bagi menjalani imbasan otak.
"Keputusan imbasan mendapati Danisy mengalami pendarahan otak dan dia terus ditahan selama empat hari di Unit Rawatan Rapi (ICU). Doktor juga memberitahu, matanya mengalami pendarahan serius jadi pembedahan terpaksa dilakukan.

GAMBARAJAH menunjukkan bahagian pendarahan pada otak.



"Danisy selamat menjalani pembedahan mata kanan pada bulan Oktober lalu dan kini dia kembali aktif. Sebelum ini, kalau orang panggil dia tidak boleh respons dan menangkap arah suara yang memanggilnya," kongsi Effa ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Bercerita mengenai pengasuh anaknya, ujar Effa, selepas kejadian itu, dia dan suami ada bertanya kepada pengasuh tersebut sama ada Danisy pernah terjatuh tetapi jawapan yang diterima sangat menghampakan. Malah, pengasuh itu menambah Danisy pernah beberapa kali menggigil dan dilihat dalam keadaan mata terbeliak yang dianggap normal pengasuh tersebut.
"Kami kecewa kerana dia tidak pernah menceritakan hal tersebut dan doktor yang memeriksa Danisy di Klang memberitahu, kemungkinan anak kami digoncang dengan kuat. Kami tidak berlengah dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam," imbas Effa dalam nada sebak.
Keadaan sama turut menimpa anak pasangan Zaihasliza Abd. Rahim, 28, Arissa Eryna Mohd. Fairuz Iskandar, tujuh bulan, pada pertengahan bulan Oktober tahun lalu. Ketika diambil dari taska kawasan rumah Zaihasliza yang terletak di Shah Alam, anak keduanya itu mula meragam.
Gejala SBS
Menurut Zaihasliza, setiap kali diletakkan, Arissa menangis dengan kuat dan ingin didukung sepanjang masa. Apabila diberi susu, Arissa muntah dan hal itu berlarutan sehingga pukul 4 pagi.
"Pada mulanya, saya ingat perut dia masuk angin. Tapi bila asyik muntah dan lepas mulut dia berbuih-buih dan badan menggigil, saya panik lalu bawa dia ke klinik.
"Menurut doktor, Arissa tak demam dan tidak lama kemudian dia diserang sawan. Doktor minta saya rujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Sampai situ, Arissa diserang sawan yang teruk dan doktor syak ia ada kaitan dengan otak.
"Lepas melakukan ujian imbasan otak, doktor mengesahkan memang ada pendarahan di otak dan di bahagian belakang mata Arissa yang serius. Saya memang terkejut dan pihak hospital terus buat laporan polis.

SALAH satu cara untuk merawat masalah pendarahan otak ialah pembedahan. - Gambar hiasan



"Saya ada hubungi pihak taska tetapi jawapannya mengecewakan kerana pihak pengurusan langsung tidak ambil serius perkara yang menimpa Arissa. Bahkan, mereka menafikan Arissa pernah jatuh dan mengambil lewa perbincangan tersebut," cerita Zaihasliza kesal.
Arissa menjalani pembedahan mata kiri bagi membuang ketulan darah beku yang terperangkap. Sekiranya dibiarkan, risiko untuk Arissa hilang penglihatan sangat tinggi.
Kenali SBS
Difahamkan, kira-kira 30 kematian kanak-kanak dilaporkan di Putrajaya dalam tempoh dua tahun lalu dipercayai ada kaitan dengan SBS. Namun ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut oleh pihak berkuasa.
Menurut Ketua Unit Neonatal Institut Pediatrik HKL, Dr. Irene Cheah, kesan negatif kekal akibat SBS boleh mengakibatkan kebutaan, sawan, gangguan mental dan palsi serebrum.
"Tiada kajian terperinci dijalankan tahap kekuatan goncangan yang boleh mengakibatkan SBS tetapi goncangan yang kuat selama empat saat mampu mendatangkan kecederaan.
"Saiz kepala yang besar berbanding badan, otot leher yang masih lemah, kandungan air yang tinggi dalam otak dan ruang subaraknoid yang besar mengelilingi otak merupakan antara punca bayi dan kanak-kanak mudah mengalami SBS.
"Ibu bapa yang mempunyai anak SBS memberitahu, anak mereka cepat letih dan mengantuk, muntah dan tidak selera makan, tangisan tidak terkawal, sukar ditenteramkan atau kesukaran bernafas dan diserang sawan," jelas Irene.
Tambah beliau, punca sebenar SBS sebenarnya bermula daripada sikap ibu bapa sendiri terutama golongan bapa yang kurang sifat sabar. Apabila anak menangis, mereka tidak tahu cara yang betul bagi menghentikan tangisan tersebut.
Akibatnya, anak yang masih kecil itu cuba ditenteramkan dengan cara lambungan, dibuai dengan laju dan tidak kurang ada yang menggoncang anak dengan kuat.

**kita sebagai penjaga seharusnya banyak2 bersabar dan sentiasa berhati2 dalam menjaga anak-anak kita...

sumber: kosmo.


No comments:

Post a Comment